Selasa, 31 Disember 2013

ratna 1

Melalui denai yang kian ditumbuhi semak samun, pokok tualang sebesar tiga pemeluk orang dewasa masih teguh. Disinilah, kira kira sepuluh tahun yang lalu aku berjanji dengan Ratna untuk sehidup semati dengannya. Kini Ratna sudah punya anak dua. Aku masih lagi menjadi lelaki kampung. Lelaki yang mengambil upah mengangkat dan menghantar barang barang runcit ke serata pekan. Air sungai yang mengalir jernih, kicauan burung yang kadang kala kedengaran membuat aku seakan kembali ke belakang, mengenang bagaimana sedihnya Ratna meninggalkan kampung untuk mengikuti keluarganya berpindah ke selatan tanah air. Berita tentang Ratna aku tahu melalui Aziz sepupunya Ratna. Pernah disaran padaku oleh Aziz agar berhubung telefon atau mengutus surat kepada Ratna bertanyakan khabar berita. Aku tolak dengan baik. Biarlah Ratna bahagia dengan keluarganya di sana.

Ratna gadis yang lembut sebagaimana budak perempuan lain. Matanya sepet seperti anak cina Ah Hong tukang jahit kasut di pekan Pokok Sena dan bercakap sedikit gagap. Sikapnya yang kuat cemburu dan mudah menangis. Cemburu dengan adiknya Murshid. Aku selalu menjadi bahu dan telinga untuknya meluah segala perasaan. Menceritakan Murshid yang selalu membulinya. Kata Ratna, ibu dan bapanya hanya sayangkan Murshid. Tidak timbul rasa bosan jika aku bersama Ratna. Ada sahaja ceritanya walaupun kadang kala aku rasa seakan mahu pergi jauh dari Ratna. Biar aku tidak mendengar cerita sedih Ratna. Biar aku tidak berasa sedih dan menangis. Selesai sahaja Ratna bercerita, aku akan berikan Ratna asam katak. Aku tahu itu kegemaran Ratna. Makan dan kemudiannya aku akan cuba hiburkan Ratna dengan pelbagai cara dan cerita. Aku tidak tahu dari mana datangnya  idea sebegitu. Bersama Ratna hidup aku menjadi berwarna.

Aku kemari dengan tujuan hanya mahu memungut rotan untuk dibawa ke pekan sehari esok pagi. Sudah ada pemborong yang mahukannya. Sebelah malam kalau aku masih punya kudrat, akanku pergi belajar alquran dengan Guru Yahya. Seorang imam dikampung tempat aku tinggal. Umurku sudah dikira lanjut untuk belajar mengaji berbanding murid guru yahya yang lain. Aku sudah dua puluh tahun hidup di dunia ini, sedangkan Azim, Jamal, Hidayah, Zubaidah dan beberapa orang lagi murid kebanyakkannya sekolah rendah sekitar darjah empat dan lima. Berulang kali juga aku ditertawa oleh Jali dan kawan kawannya yang melepak di simpang kampung. Katanya tua tua baru hendak belajar mengaji. Aku diamkan sahaja. Pesan guru Yahya, kita belajar ilmu tidak perlu malu. Kerna saranan Nabi untuk umatnya ialah belajar dari dalam buaian hingga hari kematian. Biarlah malu di dunia yang sementara sebelum senyum girang di akhirat sana.